Sunday, 21 February 2016

Dasar-dasar Pendidikan Khas di Malaysia

Dasar mengenai pendidikan khas di Malaysia dinyatakan dalam Akta Pelajaran 1961.  Dalam  bahagian  1  (tafsiran)  Akta  ini  dinyatakan  bahawa  sekolah Pendidikan Khas menyediakan layanan pendidikan khas untuk murid-murid yang kurang upaya. Pendidikan Khas telah bermula di Malaysia sejak awal tahun 1920an di kalangan sukarelawan yang membuka sekolah-sekolah untuk pelajar kurang upaya penglihatan dan pendengaran.  


Laporan Jawatankuasa Kabinet (1978) yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169. Perakuan ini menyebut; Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan kerajaan hendaklah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab pendidikan itu dari pihak-pihak persatuan yang mengendalikannya pada masa ini. Di samping itu penyertaan oleh badan-badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak-kanak cacat hendaklah terus digalakkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan telah bersidang pada 30 Jun 1981 dan memutuskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Antara Kementerian untuk mengkaji dan menentukan bidang tugas masing-masing mengenai kanak-kanak kurang upaya. Kementerian-kementerian yang terlibat adalah:

  1. Kementerian Pendidikan – bertanggungjawab memberikan pendidikan khas untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran (terencat akal) yang boleh dididik.
  2. Kementerian Kesihatan – bertanggungjawab mengenal pasti di peringkat awal dan menyaring kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko.
  3. Jabatan Kebajikan Masyarakat (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bertanggungjawab mewujudkan pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik. 

Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam perlaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta kanak-kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukuhkan perlaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan. 

  1. Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak berkeperluan khas yang sebelum ini ilakukan oleh hanya ahli perubatan dipinda kepada konsep ‘koloboratif’ iaitu diagnosis dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam pendidikan khas mengikut kepakaran dan keperluan.  Umpamanya, ahli psikologi pendidikan membuat diagnosis ke atas keperluan mengikut pendidikan dan ahli patologi  bahasa membuat penilaian terhadap keupayaan berbahasa ke atas kanak-kanak berkeperluan khas.  Apa yang jelas akta ini memberi ruang kepada pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran dalam menentukan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.
  2. Keduanya, konsep ‘pengasingan’ tempat belajar kanak-kanak berkeperluan khas diganti dengan konsep integrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama.  Kedua-dua akta (Akta Pendidikan 1981 dan Akta Kanak-kanak 1989) tersebut telah mengambil kira cadangan-cadangan dalam Laporan Warnock. Hal ini selari dengan apa yang berlaku di Amerika.  Perubahan yang berlaku berkait rapat dengan kesedaran masyarakat dan dasar semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Britain.


Akta Pelajaran 1961 disemak semula dan digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Satu bab khusus mengenai Pendidikan Khas telah dimasukkan dalam akta tersebut yang menyarankan bahawa: Seksyen 40 and seksyen 41 dalam Akta 1995 dilihat oleh pelbagai pihak sebagai ‘era baru’ dalam dunia pendidikan khas kerana Menteri Pendidikan dikehendaki membuka kelas jika ada permintaan daripada masyarakat.

Akta ini juga memperuntukan kuasa kepada Menteri untuk menentukan tempoh persekolahan dan kandungan kurikulum untuk keperluan pendidikan khas. Amalan pada masa ini, kanak-kanak berkeperluan khas dibenarkan bersekolah sehingga mereka berumur 19 tahun. (41.1). Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), menteri boleh melalui peraturan-peraturan menetapkan:
  1. Tempoh pendidikan rendah dan menengah yang sesuai dengan keperluan murid yang menerima pendidikan khas;
  2. Kurikulum yang hendaklah digunakan berhubungan dengan pendidikan khas;
  3. Kategori murid yang memerlukan pendidikan khas dan kaedah yang sesuai bagi pendidikan murid dalam setiap kategori sekolah khas; dan
  4. Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Menteri suaimanfaat atau perlu bagi maksud topik ini. Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34(1)(b) atau di mana-mana sekolah rendah atau menengah yang difikirkan oleh menteri suai manfaat.
Di Malaysia, pendidikan khas berkembang maju apabila Akta Pendidikan 1996  diwartakan.  Berteraskan kepada PL 94-142,  kesedaran masyarakat  terhadap pendidikan  khas,  peranan  undang-undang  dan  polisi  pemerintah  berjaya menggerakkan program pendidikan khas di negara ini. Melalui pendidikan untuk semua, pendidikan percuma, kelas inklusif, khidmat sokongan daripada pelbagai pihak dan juga penyediaan Rancangan Pengajaran Individu telah memantapkan lagi amalan PL 94-142 dalam sistem pendidikan khas di Malaysia.

Mengikut Akta Pendidikan 1996
Murid-murid berkeperluan khas di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan ditakrifkan sebagai murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang dimaksudkan ialah mereka yang ada masalah kognitif yang dianggap boleh diajar (educatable) dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal yang merangkumi:  
  • Kanak-kanak Down Syndrom 
  • Kanak-kanak Autistik Ringan 
  • Kanak-kanak kurang keupayaan mental 
  • Kanak-kanak bermasalah emosi 
  • Kanak-kanak bermasalah kesihatan 
  • Kanak-kanak kecelaruan bahasa dan pertuturan  
Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) 
Akta OKU telah diluluskan di Parlimen ( Dewan Negara ) pada 24 Disember 2007 dan telah diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Akta OKU ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU  daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based. Akta ini juga membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat yang lain. Akta ini juga memperuntukan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.





No comments:

Post a Comment