Thursday, 24 March 2016

RPI - Siri 2


Assalamualaikum pelajar-pelajar.

Hari ini saya akan sambung penerangan mengenai RPI.

Apakah kegunaan RPI?
  • RPI merupakan satu perjanjian bertulis disediakan oleh guru khas, ahli profesional, ibu bapa & ahli badan sukarela. Perjanjian ini di antara ibu bapa dengan pihak sekolah yang menyatakan tentang keperluan-keperluan murid dan cara bagaimana keperluan ini dapat dipenuhi. Ia juga merupakan satu dokumen yang mengandungi pelbagai maklumat tentang kanak-kanak berkeperluan khas yang dapat membantu proses pengajaran pembelajaran mereka.
  • Berdasarkan RPI yang telah dibentuk dan dipersetujui, murid berkeperluan khas (MBK) berhak menerima perkhidmatan-perkhidmatan yang dinyatakan dalam RPI tersebut.
  • Matlamat dan objektif RPI dirangka berdasarkan prestasi sedia ada murid.
  • Dengan adanya RPI, pencapaian murid dapat dilihat dengan jelas dari semasa ke semasa.
  • RPI bertindak sebagai penilaian yang berterusan bagi murid itu dalam mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dan menerangkan objektif-objektif pengajaran dan pembelajaran serta sumber-sumber yang diperlukan utk mencapai objektif-objektif tersebut.

Apakah rasional penggunaan RPI untuk MBK?
Pembentukan RPI adalah untuk menghasilkan program pembelajaran yang berkesan
serta sesuai dengan kebolehan dan keperluan murid berkenaan.


Sampel Template RPI



Apakah kandungan penting dalam RPI?

  1. Keterangan tentang peringkat pencapaian pendidikan dalam kemahiran-kemahiran seperti: bantuan-kendiri, membaca, mengira, perkembangan bahasa, motor kasar, motor halus, sosio-emosi, perkembangan fizikal dan kesihatan.
  2. Keterangan tentang maklumat tahunan termasuk objektif pengajaran jangka pendek.
  3. Keterangan tentang perkhidmatan pendidikan & bahan pengajaran tertentu yg akan diperuntukkan.
  4. Tarikh-tarikh yg. dianggarkan bagi permulaan & jangka masa bagi perkhidmatan berkenaan.
  5. Kriteria & prosedur penilaian yg. sesuai utk sekurang-kurang sekali setahun bagi menentukan sama ada objektif pendidikan telah tercapai.
  6. Perkara lain adalah seperti: biodata dan masalah pelajar, tahap pencapaian tahunan, keterangan tentang sumber & pengubahsuaian alternatif pendidikan, senarai ahli profesional. yang. terlibat serta tugasan & tanggungjawab mereka, akuan persetujuan & tanda tangan ibu bapa/penjaga.
  7. Di antara ahli profesional yang terlibat adalah:
    • Ahli fisioterapi
    • Ahli terapi cara kerja
    • Ahli terapi pertuturan
    • Kaunselor
    • Doktor perubatan
    • Guru









Wednesday, 9 March 2016

Apakah yang dimaksudkan dengan Rancangan Pendidikan Individu (RPI)? Siri 1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pelajar-pelajar, 

Mari kita fahami apakah maksud RPI dalam pelaksanaan pendidikan khas.

Sejarah permulaan RPI.
Akta Pendidikan bagi Individu Kurang Upaya atau IDEA (Individuals With Disabilities Education Act) merupakan peraturan persekutuan, yang turut merangkumi penyediaan proses formal bagi menjalankan penilaian terhadap murid kurang upaya serta menyediakan program dan perkhidmatan khusus untuk membantu mereka berjaya dalam pendidikan di sekolah (Siegel 2009).

Di bawah IDEA, program dan perkhidmatan yang diperlukan oleh kanak-kanak kurang upaya akan ditentukan menerusi Rancangan Pengajaran Individu (RPI). RPI merupakan dokumen bertulis yang menjelaskan tentang perkhidmatan yang akan disediakan untuk kanak-kanak, dan ini merupakan bahagian yang sangat penting dalam pendidikan bagi kanak-kanak kurang upaya (Siegel 2009).

Melalui Seksyen 41 Akta Pendidikan 1996 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2007 mengariskan: ”Rancangan Pendidikan Individu” ertinya satu dokumen yang menjelaskan matlamat perancangan pendidikan yang dirancang untuk setiap murid pendidikan khas dan dijadikan panduan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menyatakan tahap pencapaian murid. Rancangan Pendidikan Individu (RPI) diguna pakai dalam pelaksanaan kurikulum Pendidikan Khas yang digubal oleh Panel Khas RPI juga berperanan sebagai rekod pengajaran guru. Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2004:  Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, para (5) menyebut, “Bagi memastikan keberkesanan kurikulum ini (kurikulum alternatif) Rancangan Pendidikan Individu (RPI) setiap murid hendaklah di sediakan”.


Apakah maksud RPI?
Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis. Ia dirancang khusus untuk seseorang murid. Ia juga dibentuk bertujuan mendokumentasikan segala pengubahsuaian dan penerapan ke atas program pembelajaran serta perkhidmatan yang disediakan.

RPI merupakan satu dokumentasi perancangan berstruktur dengan langkah yang berbeza dan keperluan pengajaran yang sepatutnya untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai objektif yang telah dikenalpasti.

Menurut (Buku Panduan Rancangan Pendidikan (RPI) Individu Murid-Murid Berkeperluan Khas, 2000) Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis yang menjelaskan matlamat perancangan pendidikan yang dirancang untuk setiap murid berkeperluan khas dan dijadikan panduan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menyatakan tahap pencapaian murid. 

Apakah fungsi utama RPI?
RPI berfungsi sebagai satu alat atau instrumen untuk menentukan kerjasama dan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa, murid itu sendiri dan jika perlu, dengan pegawai pendidikan daerah, dan individu dari agensi atau khidmat sokongan lain.

RPI dilaksanakan berasaskan secara kumpulan atau pasukan. Hala tuju adalah dibentuk dan dipersetujui bersama melalui kolaborasi dan kerjasama ahli-ahli pasukan RPI.

Ahli-ahli pasukan RPI adalah berbeza bergantung kepada keperluan individu murid yang terlibat.  Contohnya, ahli-ahlinya boleh terdiri daripada murid itu sendiri, ibu bapa, guru, kaunselor kerjaya, pentadbir sekolah, pegawai khidmat bantu , pembatu pengurusan murid  dan pegawai komuniti yang telah dikenalpasti. 

Apakah peranan ahli-ahli pasukan RPI untuk bekerjasama di dalam proses membina  RPI?

Pentadbir (Pengetua/Guru Besar)
  1. Melantik seorang penyelaras (bukannya membina) pelaksanaan RPI
  2. Menggerakkan program kolaborasi, penilaian dan pengemaskini
  3. Memastikan perlaksanaan RPI dengan menilai dan mengemaskini laporan sekurang-kurangnya sekali setiap tempoh laporan yang dipersetujui dalam borang RPI
  4. Memastikan cadangan keperluan bahan sokongan dan khidmat bantu dalam penyediaan RPI diambil perhatian dan dapat dipenuhi.
  5. Memastikan murid yang terlibat dimaklumkan tentang pembinaan RPI jika berkenaan
  6. Memastikan perbincangan keperluan transisi dapat diusahakan bersama pihak ibu bapa, komuniti tempatan dan juga institusi pendidikan tinggi.
  7. Memastikan salinan dokumen RPI disediakan untuk ibu bapa dan murid.
  8. Memastikan RPI disimpan dan difailkan dengan baik serta  hasil laporan dimasukkan dalam rekod kemajuan atau profil murid

Guru kelas/Guru matapelajaran/Guru resos
  1. Menyediakan penilaian diagnostik yang sesuai bagi memastikan kekuatan dan keperluan murid. 
  2. Menyemak , mengemaskini matlamat dan objektif di awal tempoh persediaan RPI.
  3. Memberi nasihat bagi keperluan peralatan khas.
  4. Bertanggungjawab membina aktiviti pembelajaran yang dapat memenuhi keperluan murid,
  5. Mengajar dan menilai pencapaian setiap objektif RPI.
  6. Mengekalkan komunikasi dan hubungan baik dengan pihak ibu bapa, guru-guru  lain, profesional dan pegawai khidmat bantu yang terlibat.
  7. Bekerjasama , mengekalkan komunikasi dengan guru-guru lain dan juga kakitangan (warga) sekolah yang lain.

Pembantu guru
  1. Membantu murid dengan aktiviti pembelajaran di kelas mengikut arahan guru kelas
  2. Membantu guru mendapatkan bantuan peralatan khas
  3. Merekod , memantau pencapaian objektif-objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dikenalpasti


Murid
  1. Membantu ahli pasukan mengenalpasti  cara pembelajaran yang  sesuai
  2. Membantu pasukan menentukan keperluan khidmat bantu dan peralatan khas
  3. Membantu menentukan matlamat pembelajaran
  4. Memahami proses pembentukan RPI

Ibu bapa
  1. Menyediakan maklumat terkini tentang murid
  2. Memaklumkan kemahiran, minat, kegemaran dan kecenderungan murid
  3. Memaklumkan maklumat latar belakang pendidikan awal, sebelum dan pencapaian murid
  4. Memberi peluang kepada murid untuk meneruskan aktiviti pembelajaran di rumah
  5. Sentiasa berkomunikasi dengan pihak sekolah http://ow.ly/KNICZ

Ahli professional lain
  1. Menyediakan khidmat bantu (bentuk nasihat, terapi dan sebagainya)
  2. Menyediakan nasihat dari segi keperluan peralatan khas
  3. Menyediakan bantuan teknikal
  4. Menjadi sumber sokongan bagi keluarga
  5. Melaksanakan penilaian bila diperlukan


  RPI pada dasarnya adalah satu pernyataan ringkas tentang :
  • tahap prestasi seseorang murid
  • perancangan yang merangkumi aspek akademik dan bukan akademik
  • matlamat tahunan yang boleh dicapai oleh murid
  • maklumat yang mengandungi satu siri objektif yang boleh diukur bagi setiap matlamat yang dikenal pasti
  • objektif, prosedur dan urutan penilaian bagi menentukan pencapaian
  • satu huraian berhubung dengan perkhidmatan yang diperlukan oleh murid
  • perancangan jangka masa dan tarikh perkhidmatan yang disediakan untuk murid
  • satu perancangan dan persediaan untuk membantu murid berkeperluan khas menghadapi alam sekitar

Kesimpulannya RPI adalah rancangan program penilaian berterusan untuk seseorang murid, dan sebagai teras perancangan pendidikan dalam program pendidikan khas.

Ulangkaji kefahaman anda: apakah itu SPK, PPKI dan PPI?



Assalamualaikum dan selamat sejahtera pelajar-pelajar, 

Hari ini mari kita buat sedikit ulangkaji mengenai kefahaman anda mengenai SPK, PPKI dan PPI...


Soalan:
Mengikut buku 'Kod Amalan Pendidikan MBK, 2014'
  1. Berikan tafsiran SPK, PPKI dan PPI?
  2. Apakah perbezaan PPI separa dan PPI penuh?

Senarai Prasekolah Khas & Modul Aktiviti Pembelajaran Bertema Prasekolah Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pelajar-pelajar,

Hari ini saya akan kongsikan senarai prasekolah khas masalah pembelajaran dan modul aktiviti yang dijadikan rujukan semasa merancang aktiviti PdP

Pendidikan Khas 
Kategori Pembelajaran (Pra Sekolah)
·         SK BANDAR BARU SERI PETALING 1
·         SK DATO ABU BAKAR
·         SK DESA TASIK
·         SK SERI INDAH
·         SK TAMAN MALURI
·         SJK(T) FLETCHER
·         SK DANAU KOTA
·         SK (1) BATU 4 JALAN IPOH
·         SK (L) JALAN BATU
·         SK SENTUL UTAMA
·         SK TAMAN KEPONG
·         SK TAMAN KOPERASI POLIS


Berikut adalah link modul aktiviti yang digunakan oleh guru-guru prasekolah khas:

Modul Aktiviti Pembelajaran Bertema Prasekolah Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran

Sunday, 28 February 2016

Keperluan-keperluan kanak-kanak berkeperluan khas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pelajar-pelajar KAC 3013

Hari ini kita akan memahami beberapa istilah penting yang diguna pakai dalam pendidikan khas iaitu:
  1. SEN
  2. SENCO
  3. SEND Code of Practice
Apakah maksud bagi setiap istilah di atas?

Di Barat:
  1. SEN bermaksud 'Special Educational Needs' - A child or young person has special educational needs (SEN) if he or she has learning difficulties or disabilities that make it harder for him or her to learn than most other children and young people of about the same age. 
  2. SENCO bermaksud 'Special Educational Needs Co-ordinator' iaitu  A SENCO is responsible for the day-to-day operation of the school's SEN policy. All mainstream schools must appoint a teacher to be their SENCO.
  3. SEND Code of Practice bermaksud 'Code of Practice for Special Educational Need' merujuk kepada 

Monday, 22 February 2016

Perlaksanaan Pendidikan Khas di Malaysia

Sebelum 1995, pendidikan khas dikendalikan oleh Unit Pendidikan Khas yang diletakkan di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, yang dikatakan kurang berkesan dalam mengendalikan pendidikan khas negara.  Unit ini dianggotai oleh hanya empat orang pegawai yang diketuai oleh seorang Ketua Penolong Pengarah.  Apabila berlaku penstrukturan semula pada 1 Oktober tahun 1995, Unit Pendidikan Khas dinaik taraf kepada Jabatan Pendidikan Khas yang statusnya sama status jabatan-jabatan lain.  Hal ini membolehkan Jabatan ini menjalankan tanggung jawabnya sendiri seperti yang dikehendaki oleh negara dan tuntutan masyarakat. 

Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (Jabatan Pendidikan Khas) telah ditubuhkan pada 1 oktober 1995 bertanggungjawab untuk: 
  • merancang dan mengurus semua sekolah pendidikan khas rendah dan menengah, 
  • merancang dan menyelaras semua program pendidikan khas integrasi (percantuman), 
  • merancang, menyelaras dan menilai dasar- dasar dan peraturan dari segi peluang pendidikan yang seimbang, khidmat bantu dan sokongan bagi pelajar pendidikan khas dan dasar pendidikan vokasional pendidikan khas 
  • merancang kurikulum, aktiviti dan hal ehwal pendidikan khas, 
  • menyediakan perancangan, penyelidikan dan penilaian pendidikan khas, 
  • menyediakan perancangan latihan dan pembangunan staf, dan  
  • menyelaras program pendidikan pemulihan khas.   
Objektif menaik taraf Jabatan Pendidikan Khas ialah untuk:
  •  Menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan khas untuk pelajar dengan keperluan Khas.
  •  Menyediakan pendidikan yang sesuai dan relevan kepada setiap pelajar dengan keperluan khas.
  •  Menyediakan peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi pelajar dengan keperluan khas.
  •  Menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan terkini.
  •  Memastikan tenaga pengajar yang mencukupi dan terlatih dalam bidang pendidikan khas.
Sistem pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah tidak sama dengan sistem pendidikan di sekolah biasa terutama dalam perkara-perkada berikut;
1.     Penyampaian
Kaedah tertentu digunakan dalam penyampaian pembelajaran mereka. Contohnya penggunaan bahasa isyarat.
2.     Kaedah pengajaran dan pembelajaran
Dalam mengajar kanak-kanak ini, strlhhvgb lngajaran yang khusus yang sesuai dengan jenis ketidakupayaan murid tersebut.
3.      Peralatan
Penggunaan beberapa baran dan alat khas yang membantu proses pendidikan seperti alat bantuan pendengaran bagi kanak-kanak pekak dan mesin brailler bagimereka yang buta.
4.     Bilangan pelajar dalam kelas
Selain daripada itu, bilangan pelajar dalam kelas pendidikan khas di malaysia ialah 5-10 orang murid dan RPI dilaksanakan dengan nisbah guru-murid 1:1 mengikut keperluan kanak-kanak.
5.      Guru pendidikan khas terlatih
Guru-guru di sekolah ini adalah dilatih khas untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas seperti masalah pembelajaran, masalah penglihatan dan masalah pendengaran. 
6.      Pengubahsuaian kurikulum
Kandungan kurikulum diubahsuai dengan mengambil kira jenis keupayaan murid.
7.      Aktiviti kokurikulum
Aktiviti yang dijalankan adalah diubahsuai dengan jenis dan kerperluan  murid berkeperluan khas tersebut.



Jenis Program Pendidikan Khas:
1. Khidmat Yang Disediakan Oleh Kementerian Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat kini JKM (Maklumat Pendidikan Khas 2007) untuk kanak-kanak:
  • Cacat fizikal yang teruk 
  • Rencatan akal sederhana dan teruk 
  • Pelbagai kecacatan dan 
  • Kecacatan yang tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolahsekolah yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 
2. Khidmat yang disediakan di bawah pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk kanak-kanak:
  • Sindrom Down 
  • Autisme ringan 
  • Attention Deficit Hyperaktif Disorder 
  • Terencat akal minimum 
  • Bermasalah pembelajaran spesifik (disleksia)  
Program Pendidikan Khas KPM dikendalikan oleh:
  1. J.P. Khas (JPK) - Prasekolah Khas, SPK rendah dan SPK Menengah
  2. J.P. Negeri (JPN) - Program Pendidikan Khas Integrasi
  3.  J.P. Teknikal (JPT) - peringkat Pasca Menengah      

Program Khas KPM Menurut AKTA PENDIDIKAN 1996 
Program Khas mempunyai 3 jenis program iaitu:   
  1. Sekolah Pendidikan Khas (SPK) - Satu program yang disediakan di sekolah khas(menurut Akta Pendidikan 1961 - Sekolah Khas ialah sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yang khas untuk murid-murid yang kurang upaya.) bagi murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran. 
  2. Program Pendidikan Khas Integrasi - Program Percantuman/Integrasi di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran atau masalah pembelajaran; dan  
  3. Program Inklusif  - Program Pendidikan Inklusif bagi murid-murid yang berkeperluan khas yang boleh menghadiri kelas biasa bersama-sama murid biasa.  

1. Sekolah Pendidikan Khas (SPK)
Sekolah-sekolah ini ditadbir terus oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
a. Prasekolah Sekolah Pendidikan Khas 

Syarat kemasukan murid ke Program Prasekolah di Sekolah Pendidikan Khas ialah:  
  • berumur tidak kurang dari lima (5) tahun  
  • disahkan oleh pengamal perubatan, pegawai dari kementerian pendidikan dan pegawai dari JKM sebagai berupaya mengkuti program pendidikan kebangsaan.        
  • boleh  dididik dan mengurus diri tanpa bantuan orang lain. 
b. Pendidikan Rendah Khas 
Syarat kemasukan murid ke Program PendidikanKhas Kementerian Pendidikan Malaysia ialah: § 
  • berumur 6+ hingga 14+ tahun 
  • Tempoh minimum belajar: 6 tahun (tempoh ini boleh dilanjutkan hingga 2 tahun maksimum) 
  • disahkan oleh pengamal perubatan, dan boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain. 
  • Semua sekolah rendah pendidikan khas (masalah penglihatan & pendengaran) mengikuti aliran akademik dan menggunakan Kurikulum Kebangsaan. Mereka akan menduduki UPSR semasa Tahun Enam. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di peringkat sekolah rendah termasuklah asrama dan makan minum percuma, dan bantuan kewangan RM50 sebulan (bagi mereka yang berdaftar sebagai OKU).  
  • Murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi boleh mengikuti kurikulum kebangsaan atau kurikulum alternatif   
c. Pendidikan Menengah Khas
Syarat kemasukan murid ke Program Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Menengah ialah: 
  • berumur 13+ hingga 19+ tahun 
  • Tempoh minimum belajar: 5 tahun (tempoh ini boleh dilanjutkan hingga 2 tahun maksimum) 
  • disahkan oleh pengamal perubatan  
  • boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain.  
  • Pendidikan menengah menyediakan 2 jenis aliran iaitu dan vokasional. 
  • Murid bermasalah penglihatan dan pendengaran  boleh mengikuti pendidikan menengah aliran akademik di sekolah menengah yang mempunyai program Pendididkan Khas Integrasi atau  di Sekolah Pendidikan Khas (contoh: SMPK Persekutuan Pulau Pinang  atau SMPK Setapak) 
  • Mereka menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kini PT3 seperti murid di arus perdana. Manakala murid bermasalah pembelajaran akan mengikuti Program Khas Integrasi menengah dan penilaian dibuat berdasarkan pencapaian mereka di peringkat sekolah. 
  • Selepas Tingkat 3, mereka diberi peluang untuk membuat pilihan untuk meneruskan pelajaran dalam bidang akademik atau vokasional. Murid bermasalah penglihatan akan menduduki SPM dan seterusnya mengambil STPM bagi yang layak. 
  • Mereka yang memilih aliran akademik boleh meneruskan pelajaran ke sekolah menengah pendidikan khas atau sekolah yang mempunyai program Pendidikan Khas Integrasi.    

2. Program Pendidikan Khas Integrasi 
Program yang disediakan perkhidmatan pendidikan kepada murid-murid pendidikan khas di sekolah-sekolah arus perdana. Program Integrasi ini dikendalikan dan menerima bantuan peruntukan daripada Jabatan Negeri yang menjadi Pusat Tanggungjawab (PTJ).
  • Di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) 
  • Untuk murid bermasalah pembelajaran, pendengaran, dan penglihatan.  
  • Untuk memastikan murid khas mendapat pendidikan dalam persekitaran terhadap yang minimum (LRE). 
  • Murid ditempatkan di kelas khas di sekolah harian biasa supaya mereka dapat bergaul dengan murid biasa dan tidak rasa terpinggir. 
  • Program diwujudkan di sekolah harian biasa (rendah, menengah, dan sekolah teknik/vokasional) yang menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.  
Bilik Resos
Satu tempat yang menyediakan perkhidmatan bagi murid-murid pendidikan khas yang menghadiri

program integrasi. 

3. Program Inklusif (PI) 

Pendidikan Inklusif adalah program bagi menempatkan murid Pendidikan Khas yang telah menguasai
sebahagian atau sebahagian besar mata pelajaran (akademik) ke kelas biasa untuk mengikuti suasana pembelajaran normal.
  •  Mengikut Peraturan Pendidikan 1997 (Akta Pendidikan 1996) mengakui hak murid berkeperluan khas untuk diinklusifkan dalam kelas biasa. 
  • Peraturan (2) menyebut, PI bermaksud: “…satu program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang boleh menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid biasa.  
  • Telah dimasukkan dalam Sasaran Kerja Utama (SKU) Kementerian Pendidikan pada tahun 2000 iaitu: “6.1 mengintegrasikan pelajar yang mempunyai keperluan khas di sekolah biasa.” 
  • Ditadbir oleh JPN 
  • Murid khas belajar bersama-sama pelajar normal dalam kelas biasa dan diajar oleh guru biasa serta dibantu oleh Guru Resos Pendidikan Khas. 
  • Tujuannya adalah untuk membangkitkan perasaan memiliki dan dimiliki dan seterusnya mencetuskan semangat kekitaan, bekerjasama, bantu-membantu dan hidup bermasyarakat tanpa berperasaan menyingkirkan atau mengasingkan pihak kecil yang dibawa masuk.(Mohd Siraj Awang,1996)  
  • Bertujuan menggalakkan interaksi antara pelajar khas dengan pelajar biasa di samping memperakui hak pendidikan yang sama untuk semua kanak-kanak tanpa mengambil kira perbezaan individu. 
  • Diperkembangkan daripada amalan pendidikan integrasi untuk membolehkan murid khas belajar dalam iklim persekolahan senormal yang boleh. 
  • Terdapat 2 jenis PI:  

  1. Inklusif PenuhMurid mengikuti semua mata pelajaran di kelas biasa seperti murid biasa. Senarai nama kekal dalam daftar Pendidikan Khas. Guru kelas biasa boleh rujuk atau minta bantuan daripada guru Pendidikan Khas (guru pendamping) sekiranya terdapat sebarang masalah sama ada dari
    segi pembelajaran atau tingkah laku. Pelajar pendidikan khas yang layak dari segi pencapaian akademik boleh diberi peluang untuk mengambil peperiksaan UPSR/PMR/SPM dsb.
  2. Inklusif Separa/Separuh InklusifMurid mengikuti pembelajaran di kelas biasa untuk mata pelajaran tertentu sahaja. Waktu selebihnya mengikuti program di kelas khas. Senarai nama murid pada daftar Pendidikan Khas. Guru Pendidikan Khas terlibat sebagai pembimbing atau guru pendamping. Mengambil ujian mata pelajaran terlibat sama dengan murid biasa.

4. Program Pemulihan Khas 
  1. Merupakan program yang disediakan bagi membantu murid-murid mengatasi masalah belajar yang khusus terutamanya dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).  
  2. Murid yang telah dikesan dan dikenal pasti sebagai belum menguasai kemahiran asas 3M pada tahap satu akan mengikuti Program Pemulihan Khas. Program ini berada di hampir semua sekolah rendah. Program yang dijalankan ialah Program Pendidikan Pemulihan Khas Tahap Satu (PKTS).  
  3. Murid disaring dengan menggunakan IPP3M 1 (murid Tahun 1), IPP3M2 (murid Tahun 2), dan IPP3M 3 (murid Tahun 3).  
  4. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran ialah dengan menggunakan sistem pengasingan sementara (withdrawal)  

5. Program Bermasalah Pembelajaran Spesifik Disleksia 

KPM mendefinisikan murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia sebagai murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid biasa tetapi mempunyai kesukaran yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca, dan menulis. 

Syarat kemasukan ke program ini: 
  • murid telah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran pada tahun 1 sekurang-kurangnya 6 bulan, - murid telah mengikuti proses pemulihan sama ada pemulihan dalam bilik darjah atau pemulihan khas,
  • keputusan saringan menggunakan Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) menunjukkan murid mengalami kebarangkalian disleksia dan disahkan mengalami kebarangkalian disleksia oleh pengamal perubatan.  
  • Program ini dilaksanakan dengan menggunakan Model Pendidikan Khas Integrasi melalui kelas khas, pendekatan separa inklusif atau pengasingan       

Sunday, 21 February 2016

Dasar-dasar Pendidikan Khas di Malaysia

Dasar mengenai pendidikan khas di Malaysia dinyatakan dalam Akta Pelajaran 1961.  Dalam  bahagian  1  (tafsiran)  Akta  ini  dinyatakan  bahawa  sekolah Pendidikan Khas menyediakan layanan pendidikan khas untuk murid-murid yang kurang upaya. Pendidikan Khas telah bermula di Malaysia sejak awal tahun 1920an di kalangan sukarelawan yang membuka sekolah-sekolah untuk pelajar kurang upaya penglihatan dan pendengaran.  


Laporan Jawatankuasa Kabinet (1978) yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169. Perakuan ini menyebut; Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan kerajaan hendaklah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab pendidikan itu dari pihak-pihak persatuan yang mengendalikannya pada masa ini. Di samping itu penyertaan oleh badan-badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak-kanak cacat hendaklah terus digalakkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan telah bersidang pada 30 Jun 1981 dan memutuskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Antara Kementerian untuk mengkaji dan menentukan bidang tugas masing-masing mengenai kanak-kanak kurang upaya. Kementerian-kementerian yang terlibat adalah:

  1. Kementerian Pendidikan – bertanggungjawab memberikan pendidikan khas untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran (terencat akal) yang boleh dididik.
  2. Kementerian Kesihatan – bertanggungjawab mengenal pasti di peringkat awal dan menyaring kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko.
  3. Jabatan Kebajikan Masyarakat (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bertanggungjawab mewujudkan pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik. 

Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam perlaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta kanak-kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukuhkan perlaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan. 

  1. Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak berkeperluan khas yang sebelum ini ilakukan oleh hanya ahli perubatan dipinda kepada konsep ‘koloboratif’ iaitu diagnosis dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam pendidikan khas mengikut kepakaran dan keperluan.  Umpamanya, ahli psikologi pendidikan membuat diagnosis ke atas keperluan mengikut pendidikan dan ahli patologi  bahasa membuat penilaian terhadap keupayaan berbahasa ke atas kanak-kanak berkeperluan khas.  Apa yang jelas akta ini memberi ruang kepada pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran dalam menentukan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.
  2. Keduanya, konsep ‘pengasingan’ tempat belajar kanak-kanak berkeperluan khas diganti dengan konsep integrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama.  Kedua-dua akta (Akta Pendidikan 1981 dan Akta Kanak-kanak 1989) tersebut telah mengambil kira cadangan-cadangan dalam Laporan Warnock. Hal ini selari dengan apa yang berlaku di Amerika.  Perubahan yang berlaku berkait rapat dengan kesedaran masyarakat dan dasar semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Britain.


Akta Pelajaran 1961 disemak semula dan digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Satu bab khusus mengenai Pendidikan Khas telah dimasukkan dalam akta tersebut yang menyarankan bahawa: Seksyen 40 and seksyen 41 dalam Akta 1995 dilihat oleh pelbagai pihak sebagai ‘era baru’ dalam dunia pendidikan khas kerana Menteri Pendidikan dikehendaki membuka kelas jika ada permintaan daripada masyarakat.

Akta ini juga memperuntukan kuasa kepada Menteri untuk menentukan tempoh persekolahan dan kandungan kurikulum untuk keperluan pendidikan khas. Amalan pada masa ini, kanak-kanak berkeperluan khas dibenarkan bersekolah sehingga mereka berumur 19 tahun. (41.1). Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), menteri boleh melalui peraturan-peraturan menetapkan:
  1. Tempoh pendidikan rendah dan menengah yang sesuai dengan keperluan murid yang menerima pendidikan khas;
  2. Kurikulum yang hendaklah digunakan berhubungan dengan pendidikan khas;
  3. Kategori murid yang memerlukan pendidikan khas dan kaedah yang sesuai bagi pendidikan murid dalam setiap kategori sekolah khas; dan
  4. Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Menteri suaimanfaat atau perlu bagi maksud topik ini. Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34(1)(b) atau di mana-mana sekolah rendah atau menengah yang difikirkan oleh menteri suai manfaat.
Di Malaysia, pendidikan khas berkembang maju apabila Akta Pendidikan 1996  diwartakan.  Berteraskan kepada PL 94-142,  kesedaran masyarakat  terhadap pendidikan  khas,  peranan  undang-undang  dan  polisi  pemerintah  berjaya menggerakkan program pendidikan khas di negara ini. Melalui pendidikan untuk semua, pendidikan percuma, kelas inklusif, khidmat sokongan daripada pelbagai pihak dan juga penyediaan Rancangan Pengajaran Individu telah memantapkan lagi amalan PL 94-142 dalam sistem pendidikan khas di Malaysia.

Mengikut Akta Pendidikan 1996
Murid-murid berkeperluan khas di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan ditakrifkan sebagai murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang dimaksudkan ialah mereka yang ada masalah kognitif yang dianggap boleh diajar (educatable) dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal yang merangkumi:  
  • Kanak-kanak Down Syndrom 
  • Kanak-kanak Autistik Ringan 
  • Kanak-kanak kurang keupayaan mental 
  • Kanak-kanak bermasalah emosi 
  • Kanak-kanak bermasalah kesihatan 
  • Kanak-kanak kecelaruan bahasa dan pertuturan  
Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) 
Akta OKU telah diluluskan di Parlimen ( Dewan Negara ) pada 24 Disember 2007 dan telah diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Akta OKU ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU  daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based. Akta ini juga membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat yang lain. Akta ini juga memperuntukan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.